Kalau orang yang kenal saya, mereka tahu saya ni tak berapa berperasaan. Itu kelemahan besar saya. Saya tak pernah menangis kalau tengok drama, atau baca novel. Kerana pada saya, air mata itu mahal. Bukan senang-senang boleh ditumpahkan atas perkara tidak perlu. Tapi saya ingat lagi, saya menangis waktu masuk sekolah baru dulu selepas pertama kali tengok pelajar senior buat persembahan tarian. Waktu itu saya menangis kerana betapa nilai wanita Islam tak dipedulikan, sehingga boleh buat persembahan yang mempamerkan aurat dan melenggok-lenggokkan badan dihadapan lelaki yang tidak halal bagi mereka. Saya menangis kerana amaran azab Allah dilupakan.
“Ada dua golongan manusia yang menjadi penghuni neraka, yang sebelumnya aku tidak pernah melihatnya; yakni, sekelompok orang yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang digunakan untuk menyakiti umat manusia; dan wanita yang membuka auratnya dan berpakaian tipis merangsang berlenggak-lenggok dan berlagak, kepalanya digelung seperti punuk onta. Mereka tidak akan dapat masuk surga dan mencium baunya. Padahal, bau surga dapat tercium dari jarak sekian-sekian.”[HR. Imam Muslim].
Saya menangis kerana benda-benda begini. Tapi sebab kurangnya perasaan, saya tak tahu nak buat macam mana kalau kawan merajuk atau sedih. Saya tak tahu nak cakap apa kalau ada kematian berlaku dalam keluarga rakan.
Sewaktu mengkhabarkan berita yang saya akan melanjutkan pelajaran ke bumi Poland, wan saya menangis. Saya tak rasa sedih pun, tapi wan sedih nak berpisah dengan cucunya yang seorang ni. Dia cuba katakan sesuatu pada saya, tapi saya tak faham. Wan lumpuh separuh badan. Nak bercakap pun tak mampu. Dia menangis, saya tak tahu nak buat apa.
Waktu kami sepupu-sepapat masih kecil, wan lah yang menjaga. Tapi adik-beradik saya jarang dihantar ke rumah wan kerana mak tak mahu menyusahkan wan. Mak kata, cukuplah wan dah jaga mak adik-beradik dulu. Sekarang bagi wan berehat pula. Berkat didikan wan, mak berusaha menjadi anak yang solehah.
Sebelum diserang stroke, wan cukup dikenali satu kampung. Apa tidaknya, dia ringan mulut. Mudah mesra. Semua yang ditemuinya pasti ditegur. Tak disangka nikmat itu ditarik pantas; wan langsung tak boleh bercakap. Itu 11 tahun lalu.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185)
Saya jarang menerima berita kematian ahli keluarga. Jadi apabila saya menerima berita macam tu, saya tak tahu nak buat reaksi macam mana. Saya teruskan kelas anatomi sampai malam. Saya berborak dengan rakan macam biasa. Saya solat macam biasa. Saya nak buat solat jenazah ghaib tapi saya tak tahu. Saya mampu sedekahkan al-Fatihah sahaja.
When tears don't bleed the heart has failed
Saya doakan semoga roh wan ditempatkan bersama roh orang soleh.
No comments:
Post a Comment