Wednesday, June 2, 2010

Beri erti kepadanya

Masa: 2 tahun lepas
Lokasi: Kem Raudhatus Sakinah, Gombak, Kuala Lumpur

Saya memang sudah menjangka, setiap kali ada kem begini, mesti peserta akan dikejutkan pukul 4 pagi untuk bertahajjud. Maklumlah, kalau di rumah agak susah untuk bangun malam (qiamullail). Jadi dalam kem sebegini, peluang itu digunakan sepenuhnya.

Sekitar pukul 8-9 pagi, kami bergerak ke kawasan hutan. Sarapan pagi belum disediakan. Perut sedikit berbunyi. Setiap kumpulan diberikan satu bendera Palestin. Saya ditugaskan memegang panji-panji untuk kumpulan saya. Panji-panji ini hendaklah sentiasa dinaikkan sepanjang ekspedisi nanti.

Ekspidisi bermula. Sarapan masih belum disediakan. Hutan diredah. Melihat bagaimana semangat tolong-menolong para sahabat yang telah kami pelajari diaplikasi dalam medan ini. Meredah sungai, memanjat bukit, melangkah batu, berlari laju, secara automatik kelaparan itu terus hilang.

"Tentera Israel di hadapan! Tunduk!" komander memberi arahan.

Tercelup tudung bidang 60 mereka dalam air sungai separas pinggang itu.

"Maju ke depan! Pantas!!" seru komander.

Dengan panji-panji yang berkibar, kami lari mengikut komander. Pasukan lain di belakang menjadikan panji-panji itu sebagai panduan, dan ikut bergerak pantas.

Sampai di satu lokasi, kami menunaikan solat dhuha di atas tanah yang beralaskan dedaunan yang telah gugur. Memohon kepada Allah agar memberi bantuan kepada umat Islam yang sedang diancam musuh.

Sungguh saya kagum, walaupun tanpa sarapan pagi, dengan perut yang kosong, muslimah-muslimah yang bersama saya waktu itu sangat bersemangat. Kerana mereka merasakan mereka sedang berhadapan musuh Allah yang sedang cuba mengoyakkan dunia Islam ini. Agama ini mesti dipertahankan, walaupun kami hanya sekadar wanita.

Untuk menjadi da'ie, perlulah menjadi seorang yang tahan lasak supaya kita bersedia dalam apa jua keadaan dan kesusahan perjuangan masa depan. Tiggalkan bilik tidur yang selesa, masuk tidur dalam hutan. Tinggalkan makanan yang sedap-sedap itu, dan berkongsi makanan yang sedikit bersama saudara yang lain. Kesatuan, kerjasama, semuanya diuji di sini.

Sampai tengahari, kami tiba di tanah tinggi. Curam . Hampir 90 darjah mungkin. Kami daki juga. Sampai di puncaknya, rupa-rupanya ada sebuah lebuhraya di sebalik cerun itu.

"Hah, kibarkan panji-panji. Allahuakbar!"

Angin kuat waktu itu. Kami menyusuri lebuh raya itu dengan panji-panji kami. Bendera Palestin itu berkibar megah. Pemandu-pemandu yang melaui lebuhraya itu membunyikan hon. Betapa semangat juang terasa naik ke tahap maksima. Allahuakbar!!




"Jangan jadikan isu Palestin sekadar isu hangat-hangat tahi ayam. Sekejap panas, lepas itu sejuk balik," pesan Dr. Hafidzi Md Noor kepada kami.

Semua tunduk muhasabah diri. Terdengar laungan 'insyaAllah!' dari belakang. Maka termeterai satu janji dengan kalimah 'insyaAllah' itu. Ya, InsyaAllah kami tak akan jadikan isu ini sekejap panas, kemudian sejuk di hati kami. Isu Palestin akan tetap panas sehingga tanah itu bebas dari cengkaman zionis, insyaAllah!!

****

Masa: 31 Mei 2010 (Isnin)
Lokasi: Warszawa, Polska

Bangun pagi dengan debaran. Retake....Allah bantulah aku! T_T

Laptop dibuka. Fuh! Penuh inbox!

"Ikhwah akhawat sekalian, 2 syahid! 30 cedera parah!"

Syahid?? Subhanallah! Cemburunya saya!! >_<

Intai di facebook, tiada sebarang komen pun. Bermakna ini baru terjadi.

Ya Allah, 6 buah kapal BESAR penuh dengan segala macam bentuk bantuan untuk penduduk Gaza yang mendiami penjara terbuka mereka. Semuanya di rampas. Saya ragu bantuan itu akan sampai kepada mereka apabila ianya telah dirampas.

Teringat saya apabila isu Gaza mulai panas dulu. Hampir semua rakyat Malaysia berlumba-lumba untuk memberi bantuan. Konsert-konsert amal pun diadakan. Banyak wang dapat dikumpulkan. Malangnya, di akhir cerita, wang itu diserahkan kepada Fatah, bukannya Hamas.....

"Perjuangan suci itu bantuannya juga dari sumber yang suci," sekali lagi bapa saya beri ulasannya.

"Bukannya dari nyanyian artis perempuan Islam yang melalaikan. Dia sendiri masih enggan menutup aurat atas perintah Allah. Macam mana Allah nak beri pertolongan?," sambung ayah.

"Perkara suci itu dibiayai dengan duit yang bersih. Sedangkan zaman jahiliyah dulu, pembinaan ka'bah pun mereka pilih dari harta yang suci. Sebab mereka tahu yang suci itu tak boleh dicampur dengan yang kotor."

Astaghfirullah.....Peristiwa ini mengajak kita muhasabah kembali. Mungkinkah ada sumbangan dalam 6 buah kapal itu dari sumber yang tidak menepati syara'? Mungkinkah ada antara kita yang menyumbang untuk menunjuk-nunjuk? Lalu disebabkan kelalaikan kita, kebongkakan kita, dan dosa kita, bantuan itu Allah takdirkan untuk tidak sampai.

Kita punyai Allah. Israel tidak. Namun seandainya kita melakukan perkara yang menjauhkan kita dari Allah, Allah pun tidak sudi bersama kita. Kita tak punyai apa-apa tanpa Allah. Tidak hairanlah doa kita supaya umat ini diselamatkan, masih tidak terkabul. Ada hijab yang besar antara doa kita dengan Allah. Dosa itu penghalang pertolongan-Nya.

Jangan disebabkan kita yang penuh dengan dosa dan keingkaran kepada Allah, pertolongan itu ditangguhkan. Jangan sebab kita bermasam muka tak bertegur sapa dan berpecah-belah sesama Muslim, doa kita tak terangkat.

Mereka berjuang disana, kita berjuang disini. Berjuang membaiki diri dan orang lain. Bersatu membina satu umat yang kuat, yang betul-betul mengamalkan Islam sepenuhnya. Tiada erti al-Aqsa dibebaskan jika statistik pembuangan bayi terus meningkat. Tiada erti al-Aqsa dibebaskan jika perjudian dihalalkan di sebuah negara yang mengaku negara Islam. Tiada erti al-Aqsa dibebaskan jika masjid-masjid terus kosong tanpa diimarahkan.

Apa erti pembebasan al-Aqsa kalau keadaan umat masih kronik seperti hari ini?

p/s: Ketepikan sifat ego dalam diri kita. Bersangka baiklah seperti yang selalu disebut-sebut oleh bibir kita sendiri. Maafkanlah kesilapan orang lain. Bercakap mengenai kesatuan ummah, jangan lupa kesatuan ummah itu bermula dari RUMAH (ulica Lucka.....hehe)=)

No comments:

Post a Comment