Friday, April 17, 2009

'Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad'-pepatah Arab.

Ini cerita satu perjalanan, pulang ke Wisma Mais naik teksi. Pak cik pemandu teksi ini ramah orangnya, menceritakan tentang anak perempuannya yang baru lepas mendapat keputusan SPM, 7A.

"Kamu ni pelajar kan?" tanya pak cik.
"Ha'ah." saya jawab pendek.
"Perubatan di MSU," sambung kawan saya.
"Oh! Doktor! Pakcik ingat nanti pakcik nak jadi pensyarah," balas pak cik.

Kami meng-'oohh' dan meng-'aahhh' terhadap kenyataan pak cik. Di wajah kami tertulis 'pak cik yang tengah memandu teksi ni baru kata dia hendak jadi pensyarah. huh??'

"Hahaha....kamu tak percaya kan?" duga pakcik sambil menarik sekeping gambar.

Gambar pakcik, berbaju graduan. Rupanya pakcik ni ada ijazah sarjana!

Kali ini 'ooooohhh' dan 'aaaaahhhh' kami bukan dibuat-buat lagi. Kami betul-betul terkejut. Masakan tidak, pak cik ini umurnya 56 tahun, tapi masih bersemangat untuk menuntut ilmu, sanggup merendahkan diri, menuntut ilmu dengan pelajar-pelajar yang jauh lebih muda daripadanya. Semangat mengalahkan orang muda!

Murah ilmu pak cik ini, lebih murah dari tambang teksinya, sanggup meluangkan masa untuk berkongsi petua untuk senang belajar dengan kami. Semoga Allah balas budi baik pakcik, dan memberi pak cik kebaikan dunia dan akhirat. Sesungguhnya orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah.

" Allah meninggalkan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat". (Al-
Majadalah : 11)

Ini pula kisah dahulu kala, di zaman sekolah menengah. Telah menjadi semacam satu kebiasaan bagi ahli pasukan debat sekolah ana untuk mewakili sekolah dalam lebih dari satu pertandingan selain pertandingan debat. Musim Majlis Tadarus Al-Quran(MTQ) tiba. Rakan-rakan pasukan debat mula mengintai peluang. Sahabat ana yang seorang ini, dengan kelebihan bersyarahnya, berjaya mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan agama bahasa Melayu. Yang seorang ni pula, Bahasa Inggeris, yang seorang yang lain pula Bahasa Arab, dan bermacam-macam acara lagi.

Ana rasa tercabar. Nak mewakili tilawah, suara ana tak merdu. Nak mewakili tulisan Khat, tulisan ana sendiri pun ana tak faham. Akhirnya ana mencuba nasib dalam hafazan. Pendek kata, permulaan ana dalam dunia hafazan adalah semata-mata mahu memenangi pertandingan. Lupa pula ana sekolah ana ada ramai Hafiz dan Hafizah yang hebat. Ana jadi cuak semasa audition lalu tercampurlah surah al-Insaan dengan surah al-Jumu'ah. Ustaz Ayub geleng kepala. haha...dikalahkan dengan cara yang memalukan.

Sambung di MRSM pun kejadian yang sama berulang. Walaupun pada kali itu ana berjaya ke peringkat akhir, tapi kerana niat yang salah itu, sekali lagi Allah nak 'tegur ana'. Kali ini ana kalah dengan lebih memalukan. Entah macam mana boleh tak ingat ayat surah Nuh, selsema pula, sedut-sedut hingus atas pentas itu. Seluruh dewan besar ingat ana menangis!

Selepas muhasabah berbulan-bulan lamanya, Alhamdulillah barulah ana ketemu puncanya. Ana berusaha betulkan niat dan terus menghafaz walaupun tiada lagi pertandingan. Naik tingkatan lima, pertandingan hafazan lagi. Sudah lama maktab ana dikenali kerana pencapaian akademik, kali ini biarlah ana buktikan kami turut menitikberatkan aspek keagamaan. Alhamdulillah akhirnya berjaya mengharumkan nama maktab di daerah Langkawi.


Betulkan niat, menghafaz al-Qur'an, bukan untuk menunjuk-nunjuk, tapi untuk mendekatkan diri dengan Allah. Pertandingan hanya sampingan, bukan tujuan utama. Betulkan niat, menuntut ilmu bukan untuk peperiksaan atau populariti, tetapi untuk mencari keredhaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat dan perhitungan ke atas amalan seseorang itu berdasarkan kepada niatnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment