Friday, October 15, 2010

Sanggar Kreatif

Sudah lama saya telah tinggalkan dunia sastera. Skill saya dalam lapangan itu sudah berkarat kerana tak digilap dan digunakan.

Teringat suatu ketika dahulu minat mendalam pada Bahasa Melayu mendorong saya untuk menyertai pasukan Bahas 18. Dan alhamdulillah nama SMKS 18 dalam bidang bahas waktu itu dipertahankan harum selama sedekat lebih. Wah pada waktu itu memang bahasa kami berbunga-bunga. Otak kami tak henti berfikir isu-isu semasa. Kalau bertemu, pasti 'bertikam lidah'. Kami dengan dunia kami!


My Juniors; The Apprentice

Kemudian apabila pindah ke MRSM Langkawi, saya teruskan dengan perbahasan, sehinggalah saya sedar saya gagal meninggalkan watak pembahas yang agresif di arena perbahasan. Saya menjiwai perwatakan tersebut setiap waktu menjadikan saya seorang yang kurang senang didampingi mereka yang tidak rapat dengan saya.

Jadi saya berfikir saya perlu berubah! :)

Melihat rakan-rakan sepasukan, saya menjadi kagum kepada mereka. Minat mereka pada sastera kini semakin maju. Ada terus bergiat aktif dalam dunia sastera. Ada yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan Islam. Tidak seperti saya, mereka pandai gunakan kelebihan yang ada ke arah yang baik. Alhamdulillah.

Malam ini saya terbaca hasil penulisan seorang salah seorang daripada meraka. Saya rasa ianya bagus dan bermanfaat! Saya nak kongsi dengan orang lain. Baca! Jangan tak baca!

Sanggar Kreatif: Soya Ais Peneram Madu

Oleh Shahkang 2010/10/10


PENUBUHAN Industri Makanan Manis oleh komuniti makanan manis pasar malam Medan Sepakat disabitkan dengan kegemaran dan tabiat manusia di daerah ulu tersebut yang menggilai manisan secara melampau. Khalayak makanan manis yang menghuni pasar malam ini telah bersepakat menubuhkan satu industri bertujuan memperkasa usaha murni makanan ciptaan manusia dalam menyampaikan maksud kemanisan kepada masyarakat makhluk yang mencipta. Dalam puluhan jenis manisan yang mendiami pasar malam itu terdapat dua gergasi besar yang menerajui industri yang tidak berketua ini. Masing-masing meligatkan usaha untuk memonopoli perniagaan dan berseteru sesama sendiri untuk memastikan lidah penduduk Medan Sepakat akan puas dielus kemanisan cara tersendiri yang disemboyankan kumpulan masing-masing.

Soya Ais Pak Ismail

DUDUKNYA cecair yang berasal dari kacang soya atau Glycine Max ini dalam sebuah bekas sambil bertemankan ais ketul besar yang lama-lama terhakis demi mendinginkan kumpulan ini. Di atas meja yang serupa tinggal bersama gula putih dan gula merah yang berwarna kehitam-hitaman dalam bekas tersendiri.

“Peneram celaka sudah melampau. Habis pelanggan kita dibolotnya!” Di sebalik hiruk-pikuk dan bingar pasar malam, muncul dialog itu dari meja jualan tersebut. Salah sebungkus air soya asli yang sudah berpadu dengan gula putih memperikan rasa kurang gembira.

Bungkusan lain sudah mengambil posisi dan beratur mengiring di hadapan sebuah tong setinggi satu setengah kaki. Air suling yang terkondensasi di luar bungkusan sebesar telapak tangan itu menambahkan rasa ingin cuba para pengunjung yang kontang tekak dek dibakar mentari yang galak lewat petang itu.

Pelawat yang sedia menapak dan berbanjar-banjar sudah pun dua depa panjangnya. Hasrat soya untuk mengukir kebahagiaan pada hamparan sukma manusia daripada rasa manis gula putih atau merah dan kacang soya menempa kejayaan. Tidak rela khalayak yang sarat dengan protein ini dibuang begitu sahaja oleh Pak Ismail. Sering kali berlaku kepada nenek moyang kaum soya yang dilahirkan saban hari sebelum ini - dicampakkan ke longkang setelah pasar malam mengatup tirai operasi. Betapa hancur hati akibat tidak kesampaian untuk menyampaikan makna kemanisan kepada manusia. Sebaliknya diri yang serba putih atau putih kecoklatan bergelumang dengan air acar di longkang utama pasar malam tersebut. Longkang maut, itulah nama yang diberi khalayak soya kepada tanah perkuburan mereka.

“Peneram harus kita hapuskan. Dia ingat kuih berminyak dan tidak menyihatkan dapat memberi nikmat kemanisan kepada manusia?” Gula putih yang dicelupkan pengacau besi melemparkan pandangan. Jika dahulu tidak akan berbaki soya di dalam tong lut sinar itu, kini berbeza sama sekali. Lebih banyak khalayak soya yang dikuburkan di longkang maut. Peneram disalahkan kerana menjadi persaingan utama. Sering kali pengunjung yang menjenguk ke gerai peneram Mak Limah terus berlalu tanpa mengerling langsung pada gerai Pak Ismail.

“Pernah aku terdengar, ramai enggan ke sini setelah membeli peneram laknat itu kerana mereka perlu menjaga pengambilan gula. Entah penyakit apa disebut. Diabetes? Yang pasti mereka tidak boleh menghadam kedua-duanya kerana khuatir kadar gula dalam badan akan melambung.” Satu suara menambah amarah khalayak soya .... Pastinya soya yang hanya layak menjamu nafsu manis di lidah manusia. Dengan kandungan lesitin yang tinggi dan mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, tidak wajar ada makanan manis lain yang berangan-angan untuk melawan komuniti yang digelar latte di soia dalam bahasa Itali itu.

Masing-masing bahan di gerai berbumbung merah-kuning itu mengungkapkan gusar. Setiap bahan – dari soya mentah sampai ke gula merah mahu terus di landasan perjuangan Industri Makanan Manis untuk menceriakan manusia di meja makan malam. Azam untuk dicerna dan berbakti kepada sekalian manusia membumbung melepasi payung yang meneduhi jualan minuman yang melarut di dalamnya isoflavones yang penuh khasiat itu.

Peneram Madu Kak Limah

KOLAM minyak yang berdasar hitam bukat itu terus dipenuhi anak-anak yang baru lahir. Lahirnya anak-anak ini hasil paduan tepung beras dan tepung gandum yang bertindak sebagai bahan jasad yang dominan di samping tambahan gula kabung dan gula pasir sebagai pemanis. Kemudian proses kelahiran diteruskan dengan mencanai sebelum ditekan mengikut acuan serupa cincin dan dilemparkan ke dalam kolam minyak panas itu. Kelahiran anak-anak baru peneram madu disambut dengan penapis besi yang menyingkirkan minyak.

“Kalian harus mempersembahkan rupa yang menarik perhatian. Jika tidak pastinya ke jualan paket!” Peneram yang lebih dahulu dimasak memberi amaran kepada yang baru siap digoreng. Kelihatan minyak masih bersalut di sekeliling tubuh anak-anak yang baru lahir. Berkilat dan menambah merlit jasad anak-anak itu dengan bantuan cahaya petang yang kian bersembunyi.

Dalam kumpulan 10 biji, peneram ini terus sakan dijual Mak Limah bersama pembantunya. Setiap peneram mahu memastikan tidak ke jualan paket kerana kualiti kerangupan akan terjejas teruk. Malah, peneram berbentuk seperti telinga ini lebih afdal dinikmati ketika masih panas, rangup dan sedikit rapuh. Maka setiap peneram akan cuba berhias diri dalam usaha menggamit pengunjung dan membuktikan siapakah selayaknya menjadi penunjang Industri Makanan Manis.

“Soya mengatakan kita mengganggu perusahaan mereka? Ah, pedulikan! Mereka tidak pernah tahu akan asal-usulnya pasar malam ini. Mak Limah telah berniaga di sini sejak 10 tahun lalu, ketika pasar malam ini cuma mempunyai dua, tiga buah gerai. Dakwaan itu palsu seluruhnya!” Sebiji peneram memperikan kisah sejarah penjualan yang dinasabkan entah kali yang ke berapa. Ugutan pihak soya ais yang diterima menerusi khabar angin daripada sumber yang tidak diketahui benar-benar membakar khalayak peneram yang sedia panas.

Kelihatan segenggam dua peneram diangkat keluar. Sudah tidak garing, kata Mak Limah. Nasib mereka bakal ditentukan pada waktu penghujung pasar malam – sama ada dijual setelah stok garing habis atau dipaketkan dan dihantar ke kedai runcit berhampiran. Semestinya peneram madu hasil resepi nenek moyang Kak Limah ini mahu menyajikan manusia dengan kegaringan yang penuh maksima di samping hangat-hangat kuku yang menambah lazatnya. Dengan cara itu sahaja pengunjung yang melabur pada Industri Makanan Manis di pasar malam kecil selorong ini akan mempercayai kehandalan peneram madu memenuhi kehendak manusia itu.

“Tok Alang, macam mana? Kalau terus soya menjamu rasa manis manusia, kita akan dipaket dan prestasi kita akan merudum, menyembah bumi!” Seorang veteran peneram madu yang sudah berkedut dan menanti masa untuk dipaket menerima soalan. Berpuluh-puluh peneram madu yang tidak laku turut mengiyakan tanda bersetuju.

Pertempuran Dua Saudara

MASYARAKAT minuman yang sarat dengan rencaman vitamin bermanfaat itu terkejut. Berpuluh-puluh peneram madu yang masih basah dengan minyak panas berkejaran ke arah meja jualan berpayung merah kuning itu kala Pak Ismail berpergian menunaikan solat Asar. Semua terjadi dengan kuasa dan kehendak Allah walau logiknya sukar dihadam akal.

Serangan secara hendap dan licik itu berlangsung pantas sekali. Penutup tong yang celangak ternganga menjadi sasaran segerombolan peneram itu. Kecoh bertaru (JANGAN TUKAR - MAKSUD RIUH-RENDAH) warga gerai Pak Ismail dibuatnya. Selepas beberapa detik maka terapunglah sekalian peneram tersebut dalam kesejukan larutan putih yang mendiami tong minuman tersebut. Peneram terus menempik sorakan menandakan kejayaan menembusi kubu soya ais.

Sebarang tindakan pun tidak berguna lagi. Peneram yang berlenjan bersama minyak yang sedikit panas menodai keputihan soya yang suci itu. Lama-kelamaan peneram yang berasal dari tepung menjadi lembut dan pengakhirannya adalah jasad merengkah serta bercerai-berai dan terus menodai keseluruhan isi tong tersebut dengan lebih dahsyat lagi. Soya yang ditukar hak miliknya nanti bakal disertakan serpihan peneram dan sedikit lapisan minyak yang tipis!

“Kita tak boleh melengung seperti si dungu!” Sekumpulan soya yang sudah selamat dipindahkan ke dalam plastik lut sinar mengemukakan hasrat untuk membalas dendam. Pasar malam terus ditelan suasana hening disebabkan kebanyakan penjual sedang khusyuk mengerjakan solat jemaah di masjid berdekatan. Di sebalik kebisuan suara manusia itu sebenarnya sedang berlangsung percaturan yang tidak terjangkau akan kewarasan akal manusia.

Tindakan balas dari pihak soya menyaksikan sebungkus dua soya menghempap perkampungan kuih peneram yang damai di dalam sebuah dulang. Hentakan yang kuat itu mengoyakkan plastik jernih yang nipis itu maka berhamburanlah isinya dan menebar ke seluruh kawasan dulang tersebut. Peneram yang hanya mampu terkesima terus lembap dihujani soya ais.

Tatkala peneram sudah mulai hilang rangup dek basah disimbah dan soya yang bercampur-baur dengan tubuh peneram, Pak Ismail dan Mak Limah kembali meneruskan jualan. Tidak menang tangan warga emas yang mencumbui usia lanjut itu melayani pengunjung yang sakan bertolak-tolak sesama sendiri. Begitulah fiil penduduk Medan Sepakat yang begitu taksub dengan nafsu manis dan sudah tercatat sebagai satu kemestian untuk ia dilunaskan setiap hari.

Nasi Sudah Menjadi Bubur

PASAR malam Medan Sepakat umpama medan rusuhan. Segenap penduduk melaksanakan protes terhadap Mak Limah dan Pak Ismail atas kualiti jualan yang benar-benar mengecewakan. Api amarah telah memijar kesabaran khalayak ini. Apa tidaknya, soya ais yang berminyak dan ditambah dengan kehadiran cebisan peneram membuatkan si peminum tersedak. Begitu juga peneram yang kerangupannya lesap disertakan dengan kelembapan yang mendera keinginan peminat-peminat fanatik ini.

Dalam rangka masa yang serupa, warga Medan Sepakat sudah kecapi cinta yang baharu. Kehadiran gula-gula sebesar limau kasturi yang gebu sedikit itu sebagai anggota Industri Makanan Manis yang baru meredakan gelodak jiwa penduduk.
Marshmallow, kehadirannya ke daerah terpencil dari benua Eropah mengirim gejolak kesukaan ke setiap pintu hati penduduk. Dari tua bangka yang bertongkat hinggalah kepada si kecil yang baru kenal erti kemanisan, semua merasai keenakan konfeksi bergelatin dari Barat ini dengan sepenuh kepuasan. Belum pernah daerah yang dahulunya rimba tebal ini didatangi nikmat Tuhan sedemikian rupa.

Ibarat pesta, kenduri setiap kali pasar malam diadakan di balai raya. Penduduk bersama-sama berpesta marshmallow. Walaupun dikatakan majlis umum untuk meraikan sebarang makanan manis, namun rata-ratanya dipenuhi marshmallow.
Anak-anak kecil mengadakan unggun api untuk menyempurnakan resepi marshmallow bakar yang terkenal dalam kalangan remaja di barat sewaktu perkhemahan.
Marshmallow yang beraneka warna dan perisa itu dilidikan serta dibakar mengikut tahap suhu dan cita rasa sebelum dikunyah dan dinikmati.

Adapun pada suatu hari, pulang seorang anak belia Medan Sepakat dari perantauannya di benua Barat. Terkejut ia akan perkembangan penduduk yang ditinggalkannya beberapa tahun itu. Di negara pengajiannya, marshmallow tidak pernah disentuh kerana kebanyakkannya bercampur dengan gelatin haiwan yang tidak disembelih untuk mengentalkan gula-gula tersebut. Dibeleknya bungkusan marshmallow yang dipasarkan Jonathan, seorang rakyat asing yang bermastautin di Medan Sepakat. Dia menggeleng, beristighfar. Perkataan pork gelatin dicetak jelas pada paket yang mengandungi berpuluh-puluh manisan itu.

“Mengarut! Mustahil sekali manisan sebegitu berpadu dengan khinzir. Jika tidak sudah pasti dikesan akan rasa-rasa daging sewaktu mengunyahnya!” Penduduk memulau anak muda tersebut yang cuba menegakkan panji kebenaran. Hujahnya terus berlangsung agar masyarakat melupakan gula-gula barat yang tidak halal itu dan beralih kepada makanan tradisional lain yang mempunyai tahap kemanisan yang lebih cemerlang. Semuanya terlambat. Peristiwa yang terhasil dari gerai Pak Ismail dan Mak Limah menjadi duri dalam hati para penduduk.

Soya terus hanyut di longkang maut bersama bening yang tidak zahir. Peneram hanya mampu berduka di dalam paket dan menunggu tarikh luput tiba sebelum dibakul-sampahkan. Kedua-duanya menyesal atas apa yang berlaku. Khalayak marshmallow terus tertawa berdekah-dekah tanda kepuasan. Medan Sepakat dan Industri Makanan Manis pasti akan ditunjanginya sampai bila-bila.

INFO

SHAHKANG, nama pena bagi Norshah Aizat Shuaib yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah, pada 29 Mac 1989, pendatang baru dalam dunia sastera tanah air dan ahli Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) di United Kingdom. Karya pelajar Tahun Pertama, Kejuruteraan Mekanikal di University of Manchester, United Kingdom (UK) ini pernah mendapat tempat dalam media arus perdana dan memenangi beberapa hadiah sastera dalam genre cerpen dan puisi.

Sumber: BeritaHarian

No comments:

Post a Comment